Pertandingan mengutip pepahat atau siput buluh semakin mendapat tempat dalam kalangan peminat makanan laut itu.
Rentetan itu, satu pertandingan mengutip pepahat telah diadakan baru-baru ini sempena Pesta Kelaut Kelanang 2023.
Untuk makluman, hidupan laut tersebut cukup terkenal di pesisir Pantai Kelanang, Banting, Selangor.
Ia menjadi sumber rezeki kepada penduduk setempat terutama masyarakat Orang Asli yang tinggal di Kampung Tongkah Morib.
Pengarah Korporat Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), Hashila Hamzah berkata, pihaknya mengambil inisiatif menganjurkan pesta mencari pepahat bagi meningkatkan kegiatan ekonomi penduduk setempat.
Ujarnya, pesta itu juga mampu menjadi satu aktiviti rekreasi yang menyihatkan.
“Alhamdulillah, sebanyak 32 kilogram (kg) pepahat berjaya dikumpul oleh peserta dalam masa dua jam.
“Sempena Pesta Kelaut Kelanang 2023, kami turut mengadakan pertandingan mencari pepahat yang merupakan aktiviti popular di sini sejak sekian lama.
“Sebanyak 25 pasukan dengan kekuatan lima orang mula mencari pepahat pada pukul 10.30 pagi dan berakhir dua jam kemudian,” katanya ketika hari Pertandingan Mencari Pepahat 2023 baru-baru ini.
Hashila berkata, pasukan juara telah berjaya membawa naik pepahat lebih 7kg dan membawa pulang hadiah wang tunai RM500.
Pasukan naib juara menerima RM300 dengan berat pepahat lebih 5kg dan tempat ketiga membawa pulang RM200 dengan berat lebih 4kg.
“Peserta terdiri daripada pelbagai bangsa dan latar belakang.
“Kebanyakan peserta hadir dari seluruh negeri ini,” ujarnya.
Salah seorang peserta, Siti Nordiana Kalis, 22, berkata, dia menggunakan pengalaman mencari pepahat sejak berusia lima tahun untuk membawa naik lebih 7kg hidupan laut tersebut bersama ahli-ahli pasukannya.
Siti Nordiana memberitahu, petua untuk mengeluarkan pepahat dari lubang di tepi pantai adalah dengan memasukkan kayu bersama kapur untuk mengumpannya keluar.
“Sejurus ia keluar akibat kesan kapur, pepahat akan ditarik keluar dengan pantas bagi mengelaknya masuk semula ke dalam lubang.
“Kecepatan memasukkan kayu dan kepantasan menarik pepahat dengan besi dicangkuk membolehkan saya bersama empat lagi ahli pasukan kami memenangi pertandingan ini,” katanya.
Selain pertandingan mencari pepahat, pihak penganjur turut mengadakan acara tarik tali, membina istana pasir, baling tin dan pukul bantal di atas palang.
Program yang bermula dari pukul 8 pagi tersebut berakhir dengan majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Morib, Hasnul Baharuddin.