fbpx

Butik jenama mewah dalam pesawat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PESAWAT Boeing 747 ini telah diubah suai untuk dijadikan butik Coach Airways yang terletak di Freeport A’Famosa Outlet Melaka.

SELAIN keterujaan mendapatkan barangan yang sudah lama diidamkan, peminat tegar sesuatu jenama itu pastinya amat mementingkan pengalaman menarik ketika membeli-belah.

Sebagai contoh, pengalaman membeli-belah dalam sebuah pesawat pastinya memberikan satu keseronokan berbeza yang tidak mungkin dilupakan.

Justeru, jenama barangan kulit dari Amerika Syarikat, Coach baru-baru ini telah memperkenalkan Coach Airways yang pertama di dunia.

Ia merupakan sebuah pesawat Boeing 747 yang telah diubah suai menjadi butik dan kafe.

Projek kerjasama Coach bersama Freeport A’Famosa Outlet Melaka itu bermula pada April 2021 dan berjaya disiapkan sepenuhnya Mei lalu.

Kafe dan butik berkenaan mula membuka pintu kepada para pengunjung secara rasmi pada pertengahan bulan lalu.

Butik yang ditempatkan dalam badan pesawat sepanjang 70.4 meter persegi itu telah diubah suai dengan konsep menarik, sekali gus mencerminkan nilai estetika jenama Coach.

Menariknya, Boeing 747 pernah menjadi pesawat awam terbesar bermula lewat tahun 1960-an.

Kini, para penggemar pesawat penerbangan dan jenama Coach boleh merasai pengalaman unik berbelanja dalam Boeing 747.

Selain itu, pesawat yang dahulu dikenali sebagai Queen of The Skies itu kini dinobatkan sebagai Queen of The Retail dengan reka bentuk pesawat yang sangat menarik serta luas.

Ini memberikan persekitaran membeli-belah yang menarik kepada orang ramai.

Dalam pada itu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh yang merasmikan butik tersebut berkata, Coach Airways merupakan tarikan baharu di Melaka.

BAHAGIAN dalam pesawat menempatkan pelbagai koleksi barangan Coach seperti beg kulit dan pakaian.

Ujar beliau, ia merupakan salah satu usaha meningkatkan produk pelancongan di negeri tersebut.

“Selain menjadi tempat membeli-belah, butik ini juga melambangkan kemewahan dan prestij kepada semua rakyat Malaysia,” ujarnya.

Malah, konsep butik itu mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Record sebagai ‘Kedai Konsep Pertama dalam Kapal Terbang’.

Keunikan dan tarikan utama butik Coach Airways terletak pada konsep butik yang mirip seperti dalam penerbangan.

Para pengunjung akan diberikan pas masuk menyerupai tiket penerbangan bagi memberikan pengalaman sebenar menaiki sebuah pesawat komersial.

Pada bahagian kokpit pesawat dihias dengan rona terang dan ceria bagi mencerminkan imej Coach.

Ruangan beli-belah terletak pada bahagian tengah pesawat.

Ini memberi peluang kepada pelanggan meneroka kabin runcit yang menjual pelbagai koleksi barangan Coach termasuk beg kulit, kasut dan aksesori wanita.

Khusus di Coach Airways, jenama itu turut menjual beberapa koleksi yang hanya boleh didapati di dalam pesawat terbabit bagi memberi nilai eksklusif terhadap butik berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Freeport A’Famosa Outlet, Datuk Julian Lau berkata, butik berkenaan mampu memberi pengalaman unik kepada semua pelanggan.

“Menerusi Coach Airways, para pengunjung berpeluang meneroka ruang kokpit, kabin penumpang dan tempat istirahat sambil melihat pelbagai koleksi barangan jenama Coach,” ujarnya sebelum menutup bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI