fbpx

Rakyat mudah terjebak sindiket penipuan kerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saifuddin

SUNGAI PETANI – Masih ada rakyat yang terjebak dengan sindiket penipuan pekerjaan di luar negara meskipun peringatan terus diberikan termasuk menerusi kempen kesedaran.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, kempen kesedaran akan terus dilakukan bagi memastikan tiada lagi rakyat terpengaruh dengan sindiket tersebut.

“Namun, namanya manusia, jadi itu lumrah. Semakin diberi ingatan, masih ada lagi terlibat. Jadi kalau itu berlaku, kita akan gunakan mekanisme (kempen kesedaran) yang saya sebutkan tadi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar pada Sambutan Hari Ulang Tahun Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) ke-51 peringkat Kebangsaan di Pusat Latihan Rela Wilayah Utara Bukit Selambau di sini hari ini.

Berhubung kejadian terbaharu membabitkan seramai 127 rakyat Malaysia yang diselamatkan polis Filipina dalam serbuan ke atas Philippine Offshore Gaming Operator (POGO) pada 27 Jun lalu, kata beliau, pihaknya akan memberikan bantuan sewajarnya bagi membawa pulang kesemua mangsa.

Saifuddin berkata, perkara itu akan membabitkan penyelesaian antara kerajaan dengan kerajaan atau polis dengan polis membabitkan interaksi Polis ASEAN (ASEANAPOL).

Katanya, kaedah itu akan digunakan bagi menyelamatkan mangsa berkaitan di negara ASEAN seperti Laos, Kemboja, Myanmar dan Thailand.

“Kita menggunakan kaedah sama, asas kita adalah rakyat Malaysia itu wajib diselamatkan dan setelah diselamatkan, diuruskan dan dibawa pulang dengan selamat. Itu asas kepada tindakan yang kita buat termasuk dalam insiden terbaharu itu,” tambahnya.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada terdapat keperluan untuk kementeriannya memperluaskan penggunaan kamera badan dalam kalangan anggota dan pegawai imigresen, katanya, tumpuan ketika ini adalah melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terlebih dahulu.

“Buat masa ini kami fokus kamera badan ini kepada pasukan polis dahulu (kerana) yang itu bajet dah ada dan proses untuk menyediakannya sudah berjalan. Letak di situ dahulu, saya tak mahu berlebih-lebihan. Saya kekal di situ dahulu tak mahu komen apa-apa bab itu (keperluan),” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI