SUNGAI PETANI – Pemeriksaan di semua pintu masuk negara oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) perlu dilakukan mengikut prosedur ditetapkan kerana ia melibatkan elemen keselamatan, selain mengelakkan salah guna pas lawatan sosial.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, kawalan di pintu masuk sempadan negara itu bukan pemeriksaan biasa dan perlu dilakukan dengan rapi.
“Penting untuk kita ketahui bahawa kalau kita melancong ke luar negara dan bila kita melepasi kaunter imigresen, ada sekurang-kurangnya tiga soalan asas yang mereka akan tanya.
“Pertama, di mana tempat tinggal kita atau tempat yang kita lawati, kedua ada tak kita mempunyai dana yang cukup sepanjang tempoh kita berada di sesuatu negara dan seterusnya ada tak tiket pulang ke negara asal. Itu prosedur biasa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar pada Sambutan Hari Ulang Tahun Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) ke-51 peringkat Kebangsaan di Pusat Latihan Rela Wilayah Utara Bukit Selambau di sini hari ini.
Katanya, setelah melepasi semua tiga soalan itu, pelancong asing kebiasaannya tidak akan menghadapi masalah untuk pergi ke prosedur seterusnya.
Saifuddin pada masa sama memaklumkan bahawa pelancong asing yang ditolak kemasukan atau Not To Land (NTL) adalah sangat kecil berbanding jumlah kemasukan pelancong dibenarkan masuk secara keseluruhannya.
“Jumlah NTL sangat kecil dan proses dilakukan mengikut peraturan, misalnya kalau pelawat dari china itu bulanan antara purata 50 hingga 60 orang sahaja,” ujarnya.
Katanya, pematuhan prosedur itu juga penting bagi mengelakkan pelancong yang masuk untuk tujuan pelancongan dengan pas lawatan sosial, berakhir dengan bekerja dalam negara. – KOSMO! ONLINE