fbpx

Mahkamah: Kes saman fitnah S.M Faisal-Caprice dibicara 4 Oktober ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Caprice (kanan) yang disaman oleh S.M Faisal (tengah)

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini menetapkan tiga hari bermula Oktober ini bagi perbicaraan kes saman fitnah antara ahli perniagaan terkenal, Datuk S.M Faisal S.M Nasimuddin Kamal terhadap penyanyi rap Caprice.

Saman fitnah itu berhubung hantaran berbaur fitnah yang dibuat selebiriti itu di laman Instagramnya mengenai kes Emilia Hanafi yang juga bekas isteri S.M Faisal.

Tarikh-tarikh perbicaraan itu ialah 4 hingga 6 Oktober ini yang mana tarikh tersebut ditetapkan oleh Hakim Azian Othman.

Sementara itu peguam Puteri Ummi Kartini Abd Latiff yang mewakili S.M Faisal selaku plaintif berkata, sekiranya terdapat penyelesaian, mahkamah mengarahkan pihak-pihak memaklumkan sebelum tarikh perbicaraan.

“Sehubungan itu mahkamah menetapkan 28 Julai ini untuk pengurusan kes selanjutnya,” katanya ketika dihubungi selepas pengurusan kes saman itu hari ini.

S.M Faisal, 43, selaku plaintif memfailkan saman itu di Mahkamah Sesyen di sini menerusi Tetuan Akberdin & Co. pada 15 Ogos tahun lalu dengan menamakan Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli, 36, sebagai defendan.

Berdasarkan pernyataan tuntutan S.M Faisal berkata, pada 27 Jun tahun lalu, Mahkamah Tinggi Syariah di sini memerintahkan Emilia, 43, yang juga menjalani hukuman penjara tujuh hari kerana gagal mematuhi perintah komital mahkamah.

Plaintif mendakwa insiden itu kemudian dimanipulasikan oleh pihak-pihak tertentu dengan niat mala fide (niat jahat) tanpa sebarang rujukan atau klarifikasi daripada pihak plaintif.

Kata plaintif, sehari selepas itu, defendan dengan niat sama turut mengherdik, mencemuh dan memburukkan plaintif atau Mahkamah Syariah dengan memuat naik video atau hantaran melalui Instagramnya pada 28 Jun tahun sama.

Ujar plaintif, tindakan defendan itu menyebabkan plaintif berasa tertekan dari segi emosi selain cemuhan dan gangguan daripada pihak-pihak yang ada kaitan atau menyokong kempen untuk menjatuhkan plaintif.

Dalam pada itu, plaintif turut mendakwa hubungannya dan keluarga serta fokus kerjayanya juga terkesan dan terganggu.

Pernyataan saman itu turut menyebut hantaran fitnah itu mengakibatkan plaintif mengalami keaiban, penghinaan, cemuhan, tohmahan, cacian, ejekan atau kebencian dalam kalangan masyarakat.

Justeru plaintif memohon suatu perintah injunksi mandatori terhadap defendan untuk mengeluarkan atau memadamkan hantaran fitnah tersebut yang diterbitkan, dimuat naik, disebarkan atau disiarkan yang mengandungi kenyataan-kenyataan fitnah terhadap plaintif.

Selain itu, plaintif turut menuntut suatu injunksi kekal menghalang defendan sama ada oleh dirinya sendiri, sekutunya, ejennya atau sesiapa sahaja daripada memuat naik, menyebarkan, menyiarkan,menerbitkan, mengedarkan atau menghebahkan dengan apa cara sekalipun. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI