PETALING JAYA – Individu yang tular dengan memuat naik ciapan biadab mendoakan kematian Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang baru-baru ini telah tampil membuat permohonan maaf.
Pengguna Twitter, Zaki Yamani menulis permohonan maaf terbuka itu kepada isteri dan keluarga Abdul Hadi menerusi satu ciapan pagi tadi.
Katanya, dia berbuat demikian setelah mengambil kira teguran daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pandangan rakan-rakannya yang lain.
“Mengambil perhatian ciapan YAB PM (Anwar) dan pandangan rakan-rakan, saya memohon maaf kepada isteri-isteri dan keluarga Tan Sri Abdul Hadi Awang andai ciapan saya ini mengguris perasaan,” katanya.
Terdahulu, Zaki Yamani dilaporkan dengan beraninya memuat naik ciapan biadab terhadap kesihatan Abdul Hadi dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Semalam, Anwar meluahkan rasa kesal dengan tindakan individu tersebut dan mengarahkan Zaki Yamani memohon maaf atas hantarannya itu. – KOSMO! ONLINE