LIPIS – Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh tembok pembahagi jalan di Kilometer 23 Jalan Lingkaran Tengah Utama (LTU) di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, kejadian kira-kira pukul 3.50 pagi itu berlaku ketika mangsa, Muhammad Alfi Husaini Zulkifli, 20, dalam perjalanan dari arah Kuala Lipis ke Merapoh di sini.
“Apabila tiba di lokasi kejadian penunggang motosikal dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar tembok pembahagi jalan.
“Akibat kemalangan mangsa telah tercampak ke laluan bertentangan dan meninggal dunia,”katanya di sini hari ini.
Menurutnya kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan giat dilakukan.
Katanya siasatan awal mendapati lokasi kejadian merupakan jalan dua lorong sehala berselekoh dan semasa kejadiakn cuaca baik dan keadaan gelap tanpa lampu.
“Kemalangan dipercayai berpunca dari kecuaian penunggang motosikal yang gagal mengawal motosikal dengan baik dan masuk ke kelaluan bertentangan,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE