PETALING JAYA- “Semoga Kak Dut di tempatkan dengan orang yang beriman. Kalau diberi peluang untuk lahir semula kita bentuk keluarga ni semula ya jangan pisah walau sorang pun..aku sayang kau orang semua.”
Demikian kata-kata sayu adik kepada Azizah Eiyi, 40, salah sorang mangsa lemas akibat dihanyutkan fenomena kepala air di Jeram Mawar, Air Putih, Kemaman, di Facebook, awal pagi tadi.
Menggunakan nama Syawal Eiyi, dia turut memaklumkan bahawa kedua ibu dan bapanya kini sudah pun berada di lokasi kejadian.
“Mak ayah saya dah ke sana, saya berada di Melaka. Mohon doa sahabat semua agar ada seorang yang selamat pun tak apa.
“Kakak saya satu keluarga semua sekali sepuluh orang satu kereta satu motor,” katanya.
Kosmo! pagi tadi melaporkan, tujuh individu yang masih hilang dipercayai dihanyutkan fenomena kepala air di Jeram Mawar, Air Putih dekat sini pada kelmarin dikenal pasti sebagai Karim Abdullah, 39, dan enam anaknya termasuk lima perempuan.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, Karim merupakan suami kepada Azizah yang mayatnya dijumpai dihanyutkan ke sungai berhampiran Kampung Pasir Gajah, di sini semalam.
Mayat Muhammad Zulqarnain Haikal, 11, yang merupakan anak keempat pasangan itu pula dijumpai tersangkut pada sebatang pokok kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian pada pukul 5 petang, hari yang sama.- KOSMO! ONLINE