fbpx

Tragedi kepala air: Operasi mencari diperluas kepada 32 km

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hanyan (kanan) memberi taklimat operasi mencari dan menyelamat mangsa kepala air Jeram Mawar di Balai Polis Air Putih, Kemaman hari ini.

KEMAMAN – Operasi mencari dan menyelamat lapan mangsa yang masih hilang dalam tragedi kepala air di Jeram Mawar, Air Putih di sini diperluas hingga 32 kilometer ke muara Kuala Kemaman.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, sektor pencarian dipecahkan kepada tiga sektor mengambil kira jarak mangsa pertama yang ditemui pada jarak 25 kilometer dan mangsa kedua ditemui dua kilometer dari lokasi kejadian.

“Zon pertama adalah dari lokasi kejadian hingga lapan kilometer, zon kedua pula adalah 15 kilometer dari Balai Polis Air Putih hingga Empangan Sungai Pinang di sini dan bakinya hingga ke muara Kuala Kemaman adalah zon ketiga.

“Sewaktu kejadian, air deras dan hujan lebat berlaku dan kita percaya air masih deras dan meningkat berikutan cuaca buruk petang semalam,” katanya ketika ditemui di Balai Air Putih di sini hari ini.

Hanyan berkata, operasi mencari dan menyelamat hari ini disertai 163 anggota pelbagai agensi termasuk polis, Bomba dan Penyelamat, Pasukan Gerakan Am dan Angkatan Pertahanan Awam.

“Kita juga akan turut dibantu dua ekor anjing dari unit anjing pengesan (K9) Bomba dan Penyelamat,” katanya.

Dalam pada itu, Hanyan berkata, pihaknya meminta kerjasama daripada penduduk yang tinggal di pinggir sungai untuk melaporkan segera kepasa pihak polis sekiranya terlihat sebarang objek yang menjurus kepada penemuan mangsa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI