fbpx

Sistem dibaik pulih, Menara Taming Sari kembali beroperasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. NOOR HELMY (kiri) menaiki pelantar menara tinjau Menara Taming Sari selepas ujian kebolehkerjaan dilakukan malam tadi.

MELAKA – Menara Taming Sari Berhad meneruskan operasinya seperti biasa hari ini selepas sistem teknikal yang menyebabkan seramai 36 pengunjung terkandas hampir satu jam pada ketinggian 60 meter dalam insiden semalam, telah selesai dibaik pulih.

Ahli Lembaga Pengarah Menara Taming Sari Berhad, Mohd. Noor Helmy Abdul Halem berkata, kerja-kerja baik pulih itu telah dilakukan sejurus kesemua penumpang diselamatkan dan selesai kira-kira pukul 11 malam tadi.

“Operasi Menara Taming Sari diteruskan seperti biasa hari ini setelah sistem teknikal selesai dibaik pulih pada malam tadi.

“Kita juga telah menjalankan ujian kebolehkerjaan bagi memastikan insiden yang berlaku pada petang semalam tidak berulang,” katanya dalam satu kenyataan akhbar dikeluarkan di sini, lewat malam tadi.

Tambahnya, operasi penyelamatan awal yang dilaksanakan oleh pasukan teknikal Menara Taming Sari semalam juga adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan.

“Terima kasih kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) kerana hadir segera memantau kerja menyelamat,” katanya.

Terdahulu Kosmo! melaporkan, seramai 36 pengunjung berdepan detik cemas apabila terperangkap di dalam pelantar Menara Taming Sari pada ketinggian 60 meter dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang semalam.

Bagaimanapun, kesemua mangsa yang terdiri daripada 26 dewasa, lapan kanak-kanak, seorang warga emas dan seorang orang kurang upaya (OKU) berjaya diturunkan dengan selamat.

Salah seorang mangsa insiden, Zuliani Zulkeple, 42, ketika dihubung pemberita memberitahu, suasana panik mula menyelubungi pengungjung yang terkandas selepas beberapa individu mengalami sesak nafas dipercayai akibat kekurangan bekalan oksigen.

Kata jururawat di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, Kedah itu, ada di antara mangsa yang terpaksa duduk berdekatan pintu servis bagi mendapatkan udara yang masuk dicelahan ruang susulan pelantar itu tidak mempunyai tingkap.

“Keluarga saya juga mula panik apabila bekalan oksigen terasa semakin terhad, apatah lagi kami membawa seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun serta bayi setahun enam bulan.

“Hampir satu jam juga kami terkandas sementara menunggu pasukan teknikal memanjat naik untuk menggerakkan platform itu turun secara manual,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI