fbpx

Ada yang sesak nafas ketika ‘tersangkut’ atas Menara Taming Sari – Mangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video orang awam di Facebook ketika beberapa pengunjung tersangkut pada ketinggian 60 meter ketika menaiki pelantar tinjau ikonik Menara Taming Sari, petang tadi.

MELAKA – Beberapa pengunjung yang tersangkut pada ketinggian 60 meter ketika menaiki pelantar tinjau ikonik Menara Taming Sari dikatakan mengalami sesak sebelum berjaya dibawa turun dengan selamat dalam insiden lewat petang tadi.

Seorang mangsa dari Bedong, Kedah, Zuliani Zulkeple, 42, berkata, dia bersama 12 ahli keluarganya tiba di negeri ini semalam, dan mengambil peluang untuk melihat pemandangan Melaka dengan menaiki pelantar tersebut sekitar pukul 5.30 petang.

Ujarnya, kesemua pengunjung sempat merakamkan gambar pemandangan di puncak menara yang berketinggian 110 meter sebelum pelantar itu tiba-tiba berhenti berpusing lebih 30 minit ketika ia turun, menyebabkan suasana gembira bertukar panik.

“Keluarga saya juga mula panik kerana bekalan oksigen terasa semakin terhad, apatah lagi kami membawa seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun serta bayi setahun enam bulan.

“Ada beberapa pengunjung seperti mengalami sesak nafas dan duduk berhampiran pintu servis untuk mendapatkan oksigen yang masuk di celahnya kerana pelantar tersebut tidak mempunyai tingkap,” katanya ketika dihubungi pemberita, hari ini.

Tambahnya, beberapa pengunjung yang lain pula dilihat sibuk mengipas ahli keluarga masing-masing bagi mengawal keadaan cemas itu.

Kata jururawat Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani itu lagi, kesemua pengunjung terpaksa berdepan situasi tersebut hampir satu jam sebelum berjaya dibawa keluar oleh pasukan bomba.

“Pekerja penyelenggara menara telah memanjat naik ke pelantar menerusi tali kabel untuk menggerakannya secara manual.

“Sampai sahaja di bawah, pasukan bomba terus memecahkan kunci pintu bagi mengeluarkan kami semua,” katanya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan seramai 36 pengunjung terperangkap di dalam pelantar Menara Taming Sari pada ketinggian 60 meter dalam insiden lewat petang tadi.

Ketua Pegawai Eksekutif Menara Taming Sari Berhad, Azlan Abidin ketika dihubungi pemberita mengesahkan kejadian tersebut, namun memaklumkan kesemua pengunjung berjaya diselamatkan tanpa sebarang kecederaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI