SEBERANG PERAI – Legenda bola sepak negara, Datuk Mohamad Bakar, 75, yang menyertai skuad kebangsaan dan berjaya melayakkan diri ke Sukan Olimpik di Munich, Jerman pada 1972 meninggal dunia hari ini.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pukul 10.20 pagi ketika dirawat di Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) Universiti Sains Malaysia (USM) di Kepala Batas di sini.
Menurut anak Allahyarham, Siti Mardhiana, bapanya meninggal dunia akibat penyakit berkaitan kegagalan sumsum tulang untuk menghasilkan darah (sepsis secondary to myelodysplastic syndrome).
Menurutnya, jenazah Allahyarham akan dibawa pulang ke rumah mereka di Teluk Ayer Tawar di sini dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Bagan Ajam selepas solat asar hari ini.
Allahyarham sebelum ini turut dilaporkan menerima rawatan berkenaan penyakit itu di Wad Hematologi Hospital Pulau Pinang (HPP) dekat sini.
Mohamad memulakan karier sebagai pemain bola sepak Pulau Pinang pada 1960-an dan pernah menjadi penolong jurulatih skuad Olimpik Moscow 1980, sebelum dilantik sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya pada 1985. – K! ONLINE