KEMAMAN – Fenomena kepala air melanda Jeram Mawar, Air Putih, di sini, yang menghanyutkan 10 sekeluarga dipercayai berlaku pada lewat petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, kawasan jeram yang terletak di Hulu Kemaman tersebut dilanda hujan lebat sejak petang semalam.
“Hujan lebat di kawasan terbabit hanya berhenti pada awal pagi ini dan kita yakin ia punca fenomena kepala air tersebut.
“Ia dikuatkan dengan penemuan sebuah kereta jenis Proton Gen2 dan motosikal jenis SYM dipercayai milik mangsa yang dipenuhi lumpur di lokasi kejadian,” katanya, di sini hari ini.
Hanyan berkata, mangsa pertama iaitu seorang wanita berusia 40-an ditemui dihanyutkan di Kampung Pasir Gajah iaitu kira-kira 24 kilometer (km) dari Jeram Mawar pada pukul 12.45 tengah hari.
Tambah beliau, mayat kedua iaitu seorang lelaki berusia 20-an pula dijumpai tersangkut pada sebatang pokok di tebing sungai kira-kira tiga km dari lokasi kejadian.
“Kedua-dua mayat telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman, di sini, untuk tindakan lanjut.
“Setakat ini identiti mereka masih belum dikenal pasti. Gerakan mencari baki lapan mangsa termasuk seorang budak berusia empat tahun giat dijalanlan,” katanya.
Terdahulu 10 sekeluarga terbabit dipercayai memasuki Jeram Mawar untuk berkelah pada semalam. – KOSMO! ONLINE