PETALING JAYA – Aliran trafik di Lebuh Raya Pantai Timur (LPT1) dilaporkan mengalami kesesakan luar biasa apabila ramai dilihat memulakan perjalanan pulang ke ibu negara selepas perayaan Aidiladha.
Menurut Twitter LPT setakat pukul 7 malam, trafik sesak sepanjang 58 kilometer dari LPT1 sehingga Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK).
“Bagi LPT1, ia membabitkan laluan sepanjang 21.6 km dari KM96.6 sehingga Karak,” katanya, hari ini.
Dalam pada itu, aliran lalu lintas di KLK turut menghadapi kesesakan sepanjang 37.2km dari Karak menghala ke Genting Sempah.
Justeru, pemegang konsesi LPT1 dan KLK, ANIH Berhad mengingatkan pengguna lebuh raya untuk merujuk semula Jadual Cadangan Perjalanan (TTA) jika ingin pulang ke Kuala Lumpur. – KOSMO! ONLINE