BILBAO, Sepanyol – Pasangan kembar mencuri tumpuan dalam aksi pembukaan Tour de France (TdF) apabila menamatkan saingan itu dengan kemenangan 1-2 menerusi pelumba Team UAE Team Emirates, Adam Yates dan juga Simon Yates dari pasukan Jayco-AlUla.
Pada perlumbaan sejauh 182 kilometer (km) tersebut, Adam berjaya melepasi garisan penamat dengan catatan empat jam 22.49 saat (s) untuk menyarung jersi kuning selepas mengatasi kembarnya, Simon dengan perbezaan 0.04s.
Manakala rakan sepasukan Adam, Tadej Pogacar turut cemerlang apabila menamatkan perlumbaan tempat ketiga, sekali gus meraih bonus masa empat saat dalam pertarungannya dengan juara bertahan, Jonas Vingegaard yang mengakhiri perlumbaan di tempat kesembilan keseluruhan.
“Sejujurnya, saya tidak tahu apa yang hendak saya katakan. Saya sangat gembira. Kami menyediakan pendakian untuk Pogacar dan kemudian dia melakukan kayuhan.
Kemudian saya melakukan serangan dari belakang dan terserempak dengan abang saya.
“Pada mulanya, saya tidak tahu sama ada saya perlu bekerjasama dengannya atau tidak. Jadi, saya bertanya menerusi radio dan pasukan menyuruh saya pergi. Saya tahu Simon dengan baik kerana kerana kami amat rapat.
“Untuk berkongsi pengalaman ini dengannya sangat bagus. Saya pernah memiliki jersi kuning pada tahun 2020, dan ketika itu ia adalah saat yang istimewa. Tetapi setakat ini saya hanya mahu kekal dengan pendirian merendah diri. Pogacar adalah bos ketika ini.
“Dia membuktikan bahawa dia pernah menjadi yang terbaik di dunia. Dalam tempoh tiga minggu akan datang, dia akan menunjukkannya lagi. Saya bukan ketua pasukan, sebaliknya pelumba sokongan untuk Pogacar. Kami akan melakukan terbaik dan bekerjasama dalam salah satu pasukan,” kata Adam.
Juara 2019, Egan Bernal ketinggalan 20 saat di belakang Pogacar dan Vingegaard. Pusingan kedua akan berlangsung hari ini bermula dari Vitoria-Gasteiz dan berakhir di Saint-Sebastien dengan meliputi perlumbaan sejauh 208.9km. Pusingan ketiga esok pula akan meliputi perlumbaan sejauh 193.5km dari Amorebieta-Etxano ke Bayonne. – AGENSI