LONDON – Penyerang baharu Chelsea, Nicolas Jackson berharap dapat mengikut jejak beberapa penyerang legenda Afrika dalam usaha membantu pasukan melakar kejayaan terbaik menjelang saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim depan.
Sebagai rekod, Chelsea berjaya mendapatkan khidmat Jackson dengan nilai perpindahan sebanyak £32 juta (RM189 juta) daripada pasukan Villarreal dan pemain antarabangsa Gambia itu menandatangani kontrak jangka panjang sehingga 2031.
Menurut Jackson, keputusan untuk mengubah haluan karier ke Stamford Bridge cukup mudah dilakukan kerana saingan EPL memberi impak besar dalam dirinya sejak kecil sewaktu berada di benua Afrika.
“Saya sangat teruja dapat menyertai kelab besar seperti Chelsea dan pasukan ini adalah salah satu kelab terbaik di dunia dengan Stadium Stamford Bridge juga memiliki auranya yang tersendiri.
“Secara jujur, saya sentiasa mengikuti kelab ini sejak usia remaja dengan menjadikan tiga penyerang legenda pasukan seperti Demba Ba, Didier Drogba dan Nicolas Anelka sebagai contoh untuk menjadi penggempur terbaik,” katanya.
Mengulas lanjut, pemain berusia 22 tahun itu turut meminta nasihat daripada pemain antarabangsa Senegal, Sadio Mane mengenai cara bekerja di bawah bimbingan pengurus pasukan, Mauricio Pochettino nanti.
“Ketika saya bertemu dengan Mane baru-baru ini, saya ada tanya hubungannya dengan Pochettino sewaktu mereka mewakili kelab Southampton.
“Mane kata Pochettino adalah individu yang banyak menaikkan keyakinannya untuk menyerlah dalam kancah EPL dan dia seorang jurulatih yang bagus untuk mencungkil bakat pemain muda,” katanya. – AGENSI