Oleh SITI NUR MAS ERAH AMRAN
SEBERANG PERAI – Penduduk setempat mula membuat pembelian barangan keperluan berikutan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh negeri kecuali Pahang, Perlis dan Kelantan yang akan berkuat kuasa esok.
Tinjauan Kosmo! di Pasar Awam Bagan Ajam hari ini mendapati, kebanyakan orang ramai mendapatkan bekalan bahan basah seperti ayam, ikan serta sayur-sayuran.
Bagaimanapun, segelintir orang awam dilihat tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan apabila tidak menjaga penjarakan fizikal ketika membeli-belah.
Difahamkan, jumlah pelanggan yang berkunjung juga didapati lebih tinggi berbanding hari biasa.
Salah seorang peniaga, Helmi Ali, 40, berkata, ramai pelanggan yang datang untuk membeli stok bekalan makanan.
“Memang hari ini lebih ramai daripada biasa sedangkan tiada masalah sekiranya mereka mahu membeli barangan esok kerana pasar masih beroperasi seperti biasa.
“Biasalah, apabila ada pengumuman sebegini, orang ramai mudah terkesan dan sebaiknya melakukan persediaan awal bagi memudahkan urusan harian,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Peniaga makanan yang hanya mahu dikenali Durga, 20-an berkata, dia mengakui kehadiran pelanggan lebih ramai daripada biasa.
“Memang saya nampak lebih banyak pelanggan yang datang membeli sebelum PKPB bermula esok.
“Sebagai peniaga, kami pun rasa terkesan kerana perniagaan baru saja mulai stabil namun kita tiada pilihan lain selain akur dengan arahan yang dikeluarkan,” katanya. – K! ONLINE