ROMA – Ketua jurulatih AS Roma, Jose Mourinho telah menghubungi Manchester United untuk menawarkan ‘talian hayat’ buat penyerang muda pasukan itu, Mason Greenwood musim depan.
Greenwood, 21, tidak beraksi dengan United sejak Januari 2022 selepas didakwa merogol dan menyerang kekasihnya sebelum segala pertuduhan tersebut digugurkan pada Februari lalu.
Walaupun United kekal menjatuhkan penggantungan terhadap Greenwood tetapi pengurusnya, Erik ten Hag dikatakan tidak berminat untuk melepaskan penyerang muda England itu berhijrah secara tetap.
Sebaliknya, terdapat khabar angin merasakan perpindahan secara pinjaman adalah jalan terbaik bagi membolehkan Greenwood kembali beraksi musim depan.
“Jose (Mourinho) menelefon ayah Greenwood untuk bercakap dengan anaknya. Beliau memberitahu cara terbaik dalam situasi sekarang adalah kembali bermain bola sepak dan segalanya akan hilang selepas itu.
“Greenwood gembira kerana masih ada individu yang bertanyakan khabarnya dan semangatnya kembali meningkat. Dia mahu bermain dan kini menunggu keputusan United,” menurut kenyataan sumber kepada The Sun.
Sebagai rekod, Greenwood mencipta nama bersama The Red Devils dengan aksi meyakinkan dengan 22 gol daripada 83 penampilan Liga Perdana Inggeris (EPL) sebelum dia didakwa terhadap pertuduhan tersebut.
Menariknya, selain Roma, dua kelab Itali daripada aksi Serie A turut dikatakan berminat mendapatkan khidmat Greenwood secara pinjaman musim depan. – AGENSI