LONDON – Pemain antarabangsa Sepanyol, Pedro Porro optimis rakan sepasukannya di Tottenham Hotspur, Harry Kane tidak mempunyai masalah untuk menyesuaikan diri dengan kelab gergasi Eropah yang lain andai berhijrah dalam masa terdekat.
Sebagai rekod, pengerusi Spurs, Daniel Levy meletakkan harga setinggi £100 juta (RM593.90 juta) untuk mana-mana pasukan yang berminat untuk menandatangani khidmat pemain berusia 30 tahun itu.
Buat masa ini, hanya tiga kelab yang menyatakan minat seperti Manchester United, Real Madrid dan Bayern Munich tetapi hanya kelab Bundesliga itu sahaja yang sudah memberikan bidaan rasmi sebanyak £85 juta (RM504.81 juta).
Difahamkan, Kane memang mahu berhijrah selepas berjaya mencipta rekod sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman pasukan dan kini mahu memburu trofi berprestij yang tidak pernah dimenangi dalam kariernya sebelum ini.
Menurut Porro, kapten skuad England itu memiliki kualiti yang cukup hebat di dalam atau luar padang dan sikapnya yang sentiasa positif bakal memudahkan lagi proses menyesuaikan diri di liga baharu sekiranya berhijrah nanti.
“Sepanjang hampir enam bulan bersama, saya sudah mula mengenali Kane dan anggap dia adalah pemain yang luar biasa. Tidak ramai penyerang mampu beraksi sepertinya kerana dia juga mampu mendengar arahan untuk bertahan dengan baik.
“Saya rasa jika diberikan peluang untuk berhijrah, dia tidak mempunyai masalah untuk mengekalkan prestasi seperti di Spurs, sekali gus menjaringkan banyak gol,” katanya.
Real mahukan khidmat Kane kerana dianggap sebagai calon terbaik untuk menggantikan Karim Benzema yang berhijrah, manakala Bayern pula masih belum mengisi kekosongan yang ditinggalkan Robert Lewandowski tahun lalu. – AGENSI