PARIS, Perancis – Pihak berkuasa mengerahkan anggota pasukan keselamatan tambahan ke bandar-bandar terjejas dan melakukan beratus-ratus tangkapan pada malam kelima rusuhan di Perancis awal semalam.
Rusuhan besar-besaran tercetus selepas polis menembak mati seorang remaja lelaki berumur 17 tahun, Nahel M.
Seramai 486 orang ditangkap di seluruh Perancis setakat pukul 3 pagi semalam (waktu tempatan), kata kementerian dalam negeri.
Bagaimanapun, tahap keganasan dilaporkan semakin reda sejak rusuhan pertama tercetus selepas Nahel M. ditembak mati di Nanterre, pinggir Paris pada Selasa lepas.
Terdahulu, Menteri Dalam Negeri Perancis, Gerald Darmanin memberitahu pemberita bahawa 45,000 anggota pasukan keselamatan telah dikerah Sabtu lepas dan pada hari berikutnya.
Bagaimanapun, anggota keselamatan dan peralatan tambahan pasukan keselamatan telah dihantar lebih awal ke bandar Lyon, Grenoble dan Marseille yang menghadapi rusuhan serius.
Di Paris dan beberapa rantau berdekatan di mana kira-kira 7,000 anggota polis ditempatkan, seramai 126 orang ditangkap setakat pukul 1.30 pagi semalam.
Di Marseille pula, polis menyuraikan kumpulan-kumpulan remaja yang berkumpul dan merusuh di medan Canebiere menuju ke pusat bandar, demikian menurut wartawan AFP.
Menjelang tengah malam, pihak berkuasa di Lyon dan Marseille melaporkan kurang insiden rusuhan berbanding malam sebelumnya dengan 56 orang dan 21 orang, masing-masing diberkas di dua bandar tersebut.
Dalam perkembangan sama, sebilangan bandar di Perancis turut menguatkuasakan perintah berkurung waktu malam bagi mengembalikan ketenteraman awam.
Protes kematian Nahel yang berketurunan Algeria, sekali lagi mendedahkan ketegangan kaum yang teruk di Perancis dan kebencian terhadap polis yang sudah lama dituduh berat sebelah serta rasis.
Krisis terbaharu itu tidak menguntungkan Presiden Emmanuel Macron yang berhasrat mentadbir Perancis untuk penggal kedua selepas protes tercetus selama beberapa bulan sejak Januari lalu kerana membantah langkah kerajaan menaikan had umur pencen.
Dalam pada itu, majlis pengebumian Nahel diadakan di bandar kelahirannya, Nanterre kelmarin di mana beratus-ratus orang termasuk ibu dan neneknya berhimpun secara aman.
Jenazah remaja itu dikebumikan di tanah perkuburan Mon Valerian dekat masjid di Nanterre. – AFP