fbpx

PRN: Dakwaan PN raih sokongan orang muda hanya momokan politik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mahdzir (kanan) dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Pimpinan Negeri BN dan PH di Bangunan Tunku, Alor Setar hari ini.

ALOR SETAR – Barisan Nasional (BN) Kedah menyifatkan dakwaan kononnya sokongan orang muda sudah beralih kepada Perikatan Nasional (PN) hanyalah satu momokan politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, ia adalah perkara biasa dengan pelbagai persepsi akan dibangkitkan PN dalam menghadapi pilihan raya.

“Saya kira momok-momok ini memang biasa bila dekat PRN ini, macam-macam persepsi akan dibangkitkan, semuanya (memihak kepada) PN.

“Namun, saya nampak golongan muda atau pertengahan ini sudah ada ruang untuk mereka buat pilihan kerana sekarang kerajaan BN dan Pakatan Harapan (PH) tubuh kerajaan di Putrajaya,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Pimpinan Negeri BN dan PH di Bangunan Tunku, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang juga Ketua Pengarah Pilihanraya PN bahawa PH tidak mendapat sokongan anak muda dengan golongan itu dikatakan beralih kepada PN.

Kata beliau, suasana dan sokongan pada PRN kali ini juga semestinya berbeza berbanding Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Pada November 2022, waktu itu suasananya sangat berbeza dengan tujuh bulan kemudian sebab waktu itu kerajaan tidak ditubuh di Putrajaya.

“Saya kira banyak orang sudah lihat bahawa kalau diteruskan seperti November 2022 itu, ia tidak akan bagi apa-apa manfaat, itu sudah lepas. Tubuh kerajaan (Persekutuan) pun sudah habis,” ujarnya.

Mengulas mengenai dakwaan Muhammad Sanusi bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turun ke universiti-universiti untuk meraih sokongan kepada PH, katanya, tindakan itu bukanlah satu perkara aneh kerana ia kewajipan sebagai seorang Perdana Menteri.

“Perdana Menteri turun universiti untuk menjelaskan dasar yang dibuat dalam Kerajaan Perpaduan, Kerajaan Madani, jadi saya ingat bukan makna turun untuk dapat sokongan (kepada PH).

“(Tanggungjawab) Perdana Menteri lebih daripada itu, dia (Muhammad Sanusi) tak boleh bandingkan antara PM dengan seorang yang nak dapatkan pengaruh sebab tugas PM melebihi semua perkara, nak cakap tentang polisi dan arah panduan negara ini, tanggungjawab dan bagaimana nak membina negara,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI