SEREMBAN – Seorang anggota polis berpangkat sarjan ditemukan mati berlumuran darah dengan kesan tembakan di kepala di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau, semalam.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, pihaknya menerima maklumat berkenaan kira-kira pukul 6.30 petang dan mayat telah di hantar ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di Seremban untuk proses bedah siasat.
Menurutnya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
“Pihak polis meminta orang ramai tidak mengeluar apa-apa kenyataan yang boleh menggangu siasatan pihak polis dan menghormati keluarga si mati,” katanya kepada media hari ini.
Sementara itu, rakan di kawasan perumahan arwah yang tidak ingin dikenali ketika ditemui di HTJ di Seremban menyatakan, arwah seorang yang sangat rajin serta sering membantu komuniti setempat di taman perumahan.
Menurutnya, arwah yang dikenalinya lebih 10 tahun lalu itu juga terkenal dengan senyuman seperti tiada masalah dan dia benar-benar terkejut sebaik menerima berita kematian itu pada malam tadi.
“Sebelum ni tengok arwah senyum sahaja. Bila ada kenduri dia lah orang pertama yang akan bantu bersihkan kawasan.
“Sangat rajin bantu kenduri-kendara penduduk setempat, malah saya juga dapat tahu malam tadi sepatutnya arwah mahu mengumpulkan adik-beradiknya untuk jamuan di kebun belakang rumahnya di Rembau,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan mayat anggota polis berusia 58 tahun itu telah dibawa ke HTJ di Seremban bagi proses bedah siasat. – KOSMO! ONLINE