fbpx

Pelancong China, tiada tiket pulang, tidak ikut prosedur kemasukan – Imigresen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tular sebelum ini melibatkan individu dipercayai seorang menteri yang membuat kecoh di dewan ketibaan antarabangsa KLIA.

PETALING JAYA – Satu laporan polis dibuat bagi menangkis dakwaan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berhubung wujud budaya rasuah dalam kalangan kakitangan Jabatan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Laporan tersebut dibuat Khamis lalu oleh Penolong Penguasa Imigresen, Syahmi Syafie Md. Nazmil yang menafikan tuduhan pegawai imigresen meminta wang RM300 melalui ejen bagi membebaskan seorang wanita warga China.

Berdasarkan laporan itu, wanita tersebut didapati tidak memenuhi syarat kemasukan sebagai pelancong iaitu tidak memiliki tiket pulang ke negara asal serta gagal menyatakan dengan jelas tempat tinggal atau penginapan semasa berada di Malaysia.

Katanya, seorang wanita menghubungi subjek dan bercakap dengan seorang pegawai penguat kuasa melalui telefon bimbit subjek.

“Wanita itu memperkenalkan diri sebagai Emm dan mendakwa ingin membawa masuk subjek ke Malaysia untuk tujuan menjaga anaknya. Wanita berkenaan menggunakan bahasa Inggeris yang tidak fasih.

“Pegawai penguat kuasa tersebut mengisi borang lampiran 2 selaras prosedur penolakan masuk penumpang serta mengesyorkan subjek ditolak kemasukan kerana tidak mematuhi syarat kemasukan dan diragui tujuan kemasukan sebagai pelancong tulen,” menurut laporan itu.

Laporan itu menyebut, King Sing hadir ke pejabat operasi imigresen dan meluahkan rasa tidak puas hati terhadap tindakan penolakan masuk ke atas wanita warga China berkenaan.

“Beliau juga memarahi pegawai kanan serta penyelia yang menolak kemasukannya dan mengatakan ‘you are the culprit’ serta membuat tuduhan yang tidak berasas dengan menyatakan pegawai meminta wang RM3,000 melalui ejen untuk membebaskan subjek masuk ke Malaysia.

“Selain itu, beliau juga mengugut akan ‘membuang pangkat’ pegawai berkenaan dan pelbagai kata-kata yang menjatuhkan air muka pegawai di hadapan pegawai lain serta orang awam yang berada dalam pejabat pada ketika itu,” kata laporan tersebut.

Dalam pada itu, Syahmi Syafie menjelaskan, perkara itu tidak berasas kerana mana-mana orang yang telah dikemas kini daftar penolakan masuk ke dalam Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) hanya boleh dibatalkan dengan kelulusan pengarah KLIA atau Ketua Pengarah Imigresen sahaja.

“Pegawai juga tidak diberikan peluang untuk membuat penjelasan atau membela diri. Tindakan penolakan masuk ke atas subjek telah dijalankan mengikut prosedur serta selaras Arahan Tetap Ketua Pengarah Imigresen Bil. 09 Tahun 2017,” katanya. – KOSMO! ONLINE

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI