KUALA LUMPUR – Pelari jarak jauh negara, K. Prabudass berjaya mencipta rekod baharu kebangsaan bagi acara half maraton dengan jarak 21 kilometer menerusi catatan masa satu jam 06.53 saat (s).
Prabudass, 33, merekodkan sejarah baharu itu ketika mengambil bahagian pada saingan Gold Coast Maraton yang berlangsung di Gold Coast, Australia hari ini.
Catatan terbaharu itu membolehkannya memecahkan rekod lama kebangsaan yang juga miliknya dengan masa 1:07.00s pada perlumbaan Hokkaido-Sapporo Maraton di Jepun pada Mei 2021.
“Ia satu pengalaman yang hebat kembali ke Gold Coast selepas empat tahun dan dapat melakukan catatan masa 67 minit ini (1:06.53s). Terima kasih kepada semua di atas sokongan berterusan yang membawa kepada kejayaan ini,” kata Prabudass.
Kejayaan itu sedikit sebanyak mengubati kekecewaannya apabila difahamkan tiada dalam senarai menghadapi Kejohanan Olahraga Asia 2023 yang akan berlangsung di Pattaya, Thailand dari 12 hingga 16 Julai ini.
Malah, ia juga sememangnya mampu menebus duka terhadap kegagalannya dalam acara 1,500m sewaktu Sukan SEA Kemboja 2023 di Phnom Penh pada Mei lalu.
Kejayaan terbaharu itu pastinya membakar semangat Prabudass untuk merekodkan catatan masa yang lebih pantas apabila turun menghadapi Kejohanan Larian Jalan Raya (Road Running) Dunia 2023 di Riga, Latvia pada Oktober depan. – KOSMO! ONLINE