MENINGGALKAN seseorang yang pernah menyintai dirinya sepenuh hati merupakan satu kesilapan yang tidak dapat dilupakan wanita itu.
Penyesalan yang dirasai Fatimah (bukan nama sebenar) mula menghantui dirinya selepas dia menjalani kehidupan berumah tangga yang penuh dengan kekerasan.
Berkongsi kisah dengan Panorama, wanita berusia 33 tahun itu memberitahu semasa zaman universiti, dia mempunyai seorang rakan bernama Azmi.
Azmi juga merupakan rakan sekelas yang menaruh hati kepada dirinya sejak semester satu dan sentiasa ada untuknya.
Bagaimanapun, Fatimah mengakui walaupun dia tahu Azmi suka kepadanya, dia tidak mempunyai perasaan yang sama.
“Azmi sangat baik, dia selalu membantu menyiapkan tugasan kuliah. Ada ketika saya sedih, dia sanggup membuat apa saja untuk saya.
“Ketika itu, saya tidak menyukai dirinya kerana dia tidak mempunyai rupa, berbadan gemuk dan datang daripada keluarga yang sederhana,” katanya.
Tambah wanita asal Merlimau, Melaka itu dia tidak menafikan bahawa selama berkenalan dengan Azmi dia hanya memanfaatkan kebaikan lelaki itu untuk kesenangan dirinya.
Kongsinya, dia menyedari Azmi menyukainya walaupun perasaan itu tidak pernah diungkapkan.
Walaupun Fatimah bercinta dengan lelaki lain, Azmi tidak pernah meninggalkannya dan tetap menjadi pendukung serta pendengar setia ketika hubungannya bermasalah.
Pernah suatu ketika, Fatimah bergaduh dengan pasangannya dan ditinggalkan sendiri di pusat beli-belah di Melaka, Azmi sanggup datang dari kampung di Kuala Lumpur untuk menjemput dia pulang.
Katanya yang bekerja di sektor swasta, Azmi sangat ikhlas dan tulus mencintainya ketika itu, namun dia masih buta untuk melihatnya.
“Azmi mencintai saya sepenuh hati dan cara dia melayan saya menunjukkan segalanya, malah dalam keadaan apa pun dia akan ada jika saya memerlukan dirinya.
“Pernah dia cuba mengungkapkan perasaan kepada saya, namun setiap kali dia mencuba saya akan mengelak untuk bercakap tentangnya,” ujar Fatimah.
Sehingga tamat pengajian, Azmi umpama kekasih bayangan yang ada ketika saya merasa kesorangan.
Malah, semasa berpindah ke Kuala Lumpur, Azmi yang menolong Fatimah untuk menguruskan mencari rumah sewa dan menghantar dia ke tempat kerja.
Cerita Fatimah lagi, ada rakan-rakan yang pernah menegur dirinya supaya tidak mempermainkan perasaan Azmi, namun dia tidak mengendahkannya.
Malah, dia terus memberikan harapan palsu sehingga pada suatu hari Azmi melamarnya untuk menjadi isteri.
Ketika itu, Fatimah terkejut dengan lamaran Azmi, malah tidak pernah terfikir perkara itu akan berlaku.
“Saat itu saya memikirkan beribu alasan untuk menolak lamarannya kerana pada masa sama saya sudah mempunyai kekasih (kini suami).
“Bagaimanapun, akhirnya saya mengaku dengan Azmi bahawa selama ini saya tidak pernah menyimpan perasaan kepadanya,” kongsinya.
Tambahnya, Azmi sangat kecewa dengan jawapan tersebut, awalnya dia cuba memujuk bahawa perasaan itu boleh dipupuk.
Namun, Fatimah tetap berkeras dan meminta Azmi supaya tidak mengganggu dirinya lagi.
Selepas daripada kejadian itu, kedua-dua mereka membawa haluan masing-masing, dan tidak lama kemudian Fatimah bernikah dengan kekasihnya.
Bagaimanapun, bahtera yang dibina tidak seindah yang disangka.
Fatimah menjadi mangsa keganasan rumah tangga, malah kekasih yang dia pilih berubah selepas berkahwin.
Ketika itu, baru Fatimah sedar yang selama ini dia mensia-siakan sebuah perasaan yang tulus mencintai dirinya hingga menyebabkan dirinya tidak bahagia.