fbpx

Kematian Siti Sarah difitnah agenda Freemason, Shuib nak saman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHUIB menyifatkan tuduhan fitnah yang dilemparkan kepadanya itu sangat ekstrem kerana melibatkan arwah isterinya, Siti Sarah.

PETALING JAYA – Pelawak Shuib tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang mengaitkan kematian isterinya, Allahyarham Siti Sarah Raisuddin dengan dakyah sebuah organisasi tertutup dipercayai Freemason.

Katanya, fitnah dilemparkan disifatkan keterlaluan apabila turut mengaitkan banyak pihak termasuk hospital serta doktor yang merawat isterinya itu.

“Saya rasa tuduhan dan fitnah ini sangat melampau serta ekstrem kerana melibatkan arwah isteri saya, pihak hospital (HUKM) dan khasnya doktor yang terlibat.

“Rasanya tak perlu saya beri komen yang panjang. Tunggu saja kenyataan dari pihak peguam saya,” katanya menerusi kenyataan kepada Kosmo! Online.

Shuib atau Shahmira Muhammad, 38, berkata demikian mengulas hantaran seorang pelayar laman sosial yang mendakwa kematian Allahyarham isterinya berkaitan dengan agenda vaksin Covid-19.

Dalam perkongsian tersebut, individu terbabit membuat tuduhan Siti Sarah dipaksa ditidurkan sebagai bukti keberkesanan vaksin, namun akhirnya meninggal dunia.

Tulis individu itu lagi, Freemason menggunakan artis untuk mempromosikan kebaikan vaksin, selain menyatakan Shuib tidak boleh mengingkari arahan walaupun terpaksa mengorbankan keluarga sendiri.

PUNCA tuduhan adalah disebabkan sekeping foto Shuib dan isteri baharunya, Watie dalam keadaan menutup sebelah mata.

Berdasarkan semakan Kosmo! Online mendapati kenyataan individu itu dibuat berpandukan sekeping foto Shuib bersama isteri baharunya, Watie yang menutup sebelah mata masing-masing sepertinya sinonim dengan organisasi ‘rahsia’ tersebut.

Lantas tindakan itu dipercayai kononnya sebahagian daripada dakyah pertubuhan dimaksudkan, sedangkan itu hanya iklan untuk sebuah kedai barang kemas.

Pada 23 Jun lalu Shuib yang juga penyampai radio menamatkan zaman duda sebaik bergelar suami kepada ahli perniagaan berusia 35 tahun, Watie Hanifiah.

Sebelum ini, Shuib mendirikan rumah tangga dengan Allahyarham Siti Sarah pada 2011 dan dikurniakan empat cahaya mata.

Bagaimanapun, Siti Sarah menghembuskan nafas terakhir akibat jangkitan Covid-19 pada 9 Ogos 2021. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI