TELUK INTAN – Seorang lelaki maut akibat kecederaan parah selepas dihempap kereta dipandunya yang terbalik dalam kemalangan di Batu 11, Jalan Changkat Jong di sini hari ini.
Mangsa yang dikenali R. Darma Raja, 24, yang memandu kereta jenis Proton Wira maut di tempat kejadian manakala, rakannya parah.
Difahamkan, kenderaan dipandu lelaki itu hilang kawalan dan terbabas sebelum terbalik menghempap mangsa yang tercampak keluar dari kenderaan.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan dihantar ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.41 pagi.
Katanya, setiba di lokasi, didapati sebuah kereta telah berada di dalam parit dalam keadaan terbalik.
“Seorang mangsa didapati tersepit di bawah kenderaan dan operasi mengeluarkannya segera dijalankan menggunakan peralatan khas.
“Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan akibat kecederaan parah manakala rakannya pula yang dikeluarkan orang awam dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya di sini hari ini.
Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada pukul 5.16 pagi.-K! ONLINE