TAPAH – Seorang lelaki yang dilaporkan hilang semasa menjala ikan di lombong di Jalan Bidor-Teluk Intan dekat Bidor di sini semalam, ditemukan mati lemas hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, mayat M. Krisnan, 45, dijumpai dekat tebing lombong oleh anggota bomba pada pukul 9.21 pagi.
“Aktiviti pencarian diteruskan pada 8 pagi ini dengan tumpuan diberikan kepada lokasi jaring milik mangsa dijumpai semalam. Dua buah bot digunakan dalam operasi ini bermula dari tebing ke lokasi jaring pada jarak 30 meter menggunakan kaedah pusaran dan bentuk lapan,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, mangsa telah dijumpai pada pukul 9.21 pagi berdekatan tebing selepas kaedah pencarian itu dilaksanakan.
Katanya, mayat mangsa yang dibawa naik ke tebing telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Seramai 29 anggota terlibat dalam operasi itu membabitkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bidor, Pasukan Penyelamat di Air (PPDA), Unit Anjing Pengesan (K9), pegawai Zon 2 dan polis, manakala operasi yang diketuai Komander Operasi, A. Ravi tamat pada pukul 10 pagi,” katanya. – KOSMO! ONLINE