KUALA TERENGGANU – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dimasukkan ke hospital ekoran tahap kesihatannya yang merosot sejak akhir-akhir ini.
Anak lelakinya, Muhammad Khalil berkata, bapanya yang juga Ahli Parlimen Marang kurang sihat sejak beberapa hari sebelum sambutan Hari Raya Aidiladha pada kelmarin.
Jelas penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Burok tersebut, kesihatan Abdul Hadi semakin stabil setelah menerima rawatan di hospital.
“Beliau (Abdul Hadi) ditahan wad untuk rawatan biasa dan perlukan rehat selama beberapa hari (lagi) bagi pemantauan doktor.
“”Mohon doa dan solat hajat untuk kesembuhan (Abdul Hadi),” katanya di sini hari ini.
Abdul Hadi yang mempunyai rekod masalah jantung dilihat tidak menyampaikan kuliah agama seperti biasa di Masjid Rusila, Marang pada semalam sebaliknya digantikan Muhammad Khalil.
Kosmo! Online Selasa lalu melaporkan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu memutuskan Abdul Hadi kekal Ahli Parlimen Marang setelah petisyen dikemukakan Barisan Nasional (BN) ditolak.
Begitupun, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Ahmad Said memberitahu BN akan mengemukakan rayuan berhubung keputusan tersebut di Mahkamah Persekutuan.
Muhammad Khalil berkata, walaupun dalam keuzuran, bapanya tetap menggagahkan diri menghadiri majlis pelancaran Jentera Pilihan Raya Dewan Pemuda Pas Terengganu pada malam Selasa lalu. – KOSMO! ONLINE