fbpx

Bom mortar dijumpai di Padang Polo tiada bahan letupan, digunakan untuk latihan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota polis menjalankan pemeriksaan di lokasi penemuan bom mortar di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz atau Padang Polo di Ipoh hari ini.

IPOH – Polis mengesahkan objek menyerupai bom mortar yang ditemukan di tepi kolam dekat Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz atau Padang Polo di sini hari ini, tidak mengandungi bahan letupan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, hasil pemeriksaan Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak mendapati objek itu digunakan untuk tujuan latihan.

“Bom mortar berukuran panjang 300 milimeter (mm) dan lebar 60 mm itu dibawa balik ke Bahagian Persenjataan IPK Perak untuk tindakan lanjut.

“Siasatan akan dilakukan daripada pelbagai sudut bagi mengenal pasti bagaimana objek itu boleh berada di lokasi kejadian termasuk berhubung dengan agensi pertahanan,” katanya di sini hari ini.

Menurut Yahaya, kewujudan objek itu disedari seorang lelaki yang sedang berjoging di taman rekreasi tersebut apabila ternampak objek dipercayai bom jenis mortar yang tenggelam kira-kira satu inci dalam kolam berlumpur.

Katanya, pengadu yang melihat bahagian belakang bom tersebut segera melaporkan penemuan itu kepada polis pada pukul 3 petang.

“Polis yang sampai di lokasi kejadian telah ‘mengepung’ kawasan itu dengan tali polis dan mengawal orang awam supaya tidak mendekati kolam tersebut dalam jarak lebih kurang 500 meter,” katanya.

Sementara itu difahamkan, bom mortar jenis 60mm biasanya digunakan tentera dan Pasukan Gerakan Am (PGA). Ini kerana kedua-dua pasukan menggunakan mortar 60mm sebagai senjata bantuan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI