HANOI, Vietnam – Seorang lelaki di Vietnam mendakwa bahawa dia terjaga selama 60 tahun selepas mengalami demam ketika zaman kanak-kanak, menyebabkan dia tidak dapat tidur, lapor akhbar Daily Star semalam.
Thai Ngoc, 80, berkata, kali terakhir dia menutup mata adalah beberapa dekad lalu selepas kes pelik itu menyebabkan dia tidak boleh tidur sejak 1962.
Ahli keluarga, rakan dan jiran Ngoc berkata, mereka tidak pernah melihat lelaki itu tidur.
Walaupun sudah ramai pakar perubatan memeriksanya, tiada seorang pun dapat membuktikan bahawa lelaki itu pernah tidur.
Namun, Ngoc yang mengalami insomnia secara kekal didapati sihat dan tidak mengalami sebarang masalah kesihatan kerana kurang tidak tidur.
Pada setiap hari, Ngoc yang bekerja selama berjam-jam berkata, teh hijau dan wain beras menjadi minuman yang membekalkan sebahagian besar tenaganya.
Bercakap kepada seorang pesohor YouTube bernama Drew Brinsky, Ngoc berkata, dia tidak dapat mengingati bila kali terakhir dia tidur nyenyak.
Brinsky pula mendakwa salah satu sebab lelaki itu tidak dapat tidur mungkin kerana trauma yang disebabkan oleh Perang Vietnam antara 1955 hingga 1975. – Agensi