SEPANG- Kerajaan melalui Kementerian Pengangkutan akan memperkenalkan sistem e-kredit tiket penerbangan pada Ogos depan bagi memudahkan pelajar institut pengajian tinggi awam (IPTA) pulang ke kampung semasa musim perayaan dan cuti semester.
Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, ketika ini, Kementerian Pengangkutan sedang membangunkan sistem berkenaan di mana ia memerlukan langkah integrasi bersama syarikat penerbangan terlibat.
Katanya, pihaknya merancang satu insentif untuk memberikan bantuan tiket penerbangan kepada pelajar IPTA dari Sabah dan Sarawak yang belajar di Semenanjung dan sebaliknya.
“Mereka akan menerima satu bentuk e-kredit yang akan dimasukkan ke dalam akaun masing-masing bagi pembelian tiket kapal terbang dan jika syarikat penerbangan ada menawarkan diskaun, ia juga lebih berbaloi.
“Walaupun jumlahnya bukan banyak, tetapi bantuan itu merupakan satu langkah permulaan untuk meringankan beban pelajar pulang ke kampung semasa perayaan dan cuti semester,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan laluan penerbangan baharu syarikat penerbangan MyAirlines ke Bangkok, Thailand, di sini tadi.
Katanya, inisiatif e-kredit itu akan dilancarkan pada Ogos depan iaitu sebelum sambutan Hari Kemerdekaan. – KOSMO! ONLINE