SEGAMAT – Seorang lelaki warga emas ditemui sudah tidak bernyawa di atas bumbung sebuah rumah di Jalan Buloh Kasap, Pekan Jabi, di sini hari ini.
Menurut Ketua Balai Bomba Penyelamat Bandar Segamat, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Muhd. Hazim Abdul Razak, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian tersebut pada pukul 12.38 tengah hari.
“Setibanya di lokasi kejadian, didapati mayat seorang lelaki berusia 60 tahun itu berada di atas bumbung bersendirian. Mayat mangsa telah dibawa turun dengan alat pengusung,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhd. Hazim berkata, pihaknya menyerahkan mayat mangsa kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat Superintendan Ahmad Zamry Marinsah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung penemuan mayat itu.
“Lelaki tersebut yang sedang membaiki bumbung rumah ibunya tiba-tiba rebah ketika di atas bumbung dan meninggal dunia.
“Mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Daerah Segamat (HDS) untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE