fbpx

Kempen di sekolah tarik minat bukan Bumiputera sertai tentera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohammad menyembelih seekor lembu pada majlis ibadah korban tentera darat 2023 di Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Tentera Darat meneruskan usaha menarik minat bukan Bumiputera untuk menyertai pasukan pertahanan itu dengan melaksanakan kempen penerangan di sekolah.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab. Rahman berkata, briged di setiap negeri memainkan peranan penting dalam menarik minat bukan Bumiputera untuk menyertai pasukan beruniform itu.

“Setiap negeri kita ada briged atau formasi tertentu. Mereka ini akan pergi ke sekolah-sekolah untuk memberikan pendedahan kepada warganya tentang tentera.

“Menurut kaji selidik yang dibuat, ada (bukan Bumiputera) yang tidak mahu (sertai tentera) sebab berisiko tinggi, tetapi gaji tidak setimpal.

“Ada juga sebab tertakluk pada disiplin yang sangat ketat. Kita tidak meletakkan kuota tertentu dan mengalu-alukan semua untuk menyertai keluarga besar Tentera Darat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis ibadah korban Tentera Darat 2023 di Kem Perdana Sungai Besi, di sini, hari ini.

Sementara itu, Mohammad memberitahu, pihaknya menerima 32 ekor lembu yang mana 22 daripada haiwan itu adalah hasil sumbangan individu serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menyempurnakan ibadah korban pada tahun ini.

Jelas beliau, anggota tentera yang ditugaskan di perbatasan turut menerima haiwan korban bagi menunaikan ibadah itu secara serentak dengan aktiviti di semua kem di negara ini.

“Daging (korban) ini kita akan agihkan kepada warga tentera sebahagiannya, selain diberikan kepada asnaf dan sembilan organisasi bagi membantu golongan yang kurang nasib baik termasuk gelandangan.

“Harapan saya aktiviti ini dapat diteruskan pada masa akan datang serta diharap individu akan menyumbangkan lembu untuk kita agihkan pada mereka (golongan asnaf) yang memerlukan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI