STOCKHOLM, Sweden – Seorang lelaki membakar sebilangan muka surat kitab suci al-Quran di luar masjid utama di Stockholm semalam dalam perbuatan yang mengundang kecaman Turkiye.
Ankara menggantung percubaan Sweden untuk menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), beberapa hari menjelang satu sidang kemuncak.
Polis Sweden memberi permit untuk satu tunjuk perasaan selari dengan jaminan kebebasan bersuara tetapi turut membuka kertas siasatan terhadap lelaki tersebut yang berasal dari Iraq, kerana ‘menghasut kebencian terhadap sesebuah kumpulan etnik’.
Salwan Momika, 37, yang melarikan diri ke Sweden beberapa tahun lalu telah meminta kebenaran polis untuk membakar kitab suci itu ‘untuk menyuarakan pandangan saya tentang al-Quran’.
Menjelang protes tersebut, Momika memberitahu agensi berita TT bahawa dia juga mahu mengetengahkan kepentingan kebebasan bersuara.
“Ini demokrasi. Berbahaya jika mereka memberitahu bahawa kami tidak boleh melakukan perkara ini (membakar al-Quran),” kata Momika.
Di bawah kawalan ramai anggota polis, Momika berucap di hadapan berpuluh-puluh orang awam menerusi pembesar suara.
Dia memijak al-Quran dan melakukan perkara amat biadab yang lain sebelum membakarnya. Dia seterusnya melakukan lagi perkara biadab sambil mengibarkan bendera Sweden, demikian menurut wartawan AFP di lokasi kejadian. – AFP