fbpx

[VIDEO] Pemandu bas sakit jantung meninggal dunia di Hentian Gua Musang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang pemandu bas ekspres yang ditemui meninggal dunia di Hentian Gua Musang awal, pagi tadi. Foto IHSAN MEDIA SOSIAL

GUA MUSANG – Seorang pemandu simpanan sebuah bas ekspres meninggal dunia akibat serangan jantung di dalam bas terbabit semasa kenderaan itu berhenti di Hentian Gua Musang, di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.20 pagi itu, Awang Mat Adam, 55, yang berasal dari Kota Bharu ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di kerusi penumpang di dalam bas ekspres tersebut.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, pihak polis menerima panggilan daripada seorang pemandu bas yang memaklumkan kejadian berkenaan.

Katanya, berdasarkan keterangan saksi iaitu pemandu pertama bas terbabit, kenderaan itu sedang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Kota Bharu.

“Mangsa yang merupakan pemandu simpanan memandu bas itu dari Kuala Lumpur dan sepatutnya bertukar tugas dengan pemandu pertama bas di Gua Musang. Disebabkan mangsa mengadu tidak sihat, pertukaran pemandu dibuat di Raub, Pahang.

“Mangsa kemudiannya duduk dan berehat di satu tempat duduk kosong dalam bas terbabit. Apabila tiba di Hentian Gua Musang, saksi mendapati mangsa sudah meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi Kosmo!, hari ini.

Choon Foo memberitahu, hasil siasatan mendapati, mangsa menghidap diabetes sejak berbelas tahun lalu selain pernah menjalani pembedahan disebabkan radang paru-paru empat tahun yang lepas.

Katanya, siasatan di lokasi kejadian dan keterangan saksi-saksi, tiada unsur-unsur jenayah yang boleh dikaitkan dengan kematian mangsa.

“Hasil bedah siasat dijalankan di Hospital Gua Musang mendapati punca kematian mangsa disebabkan oleh Acute Pulmonary Edema iaitu kegagalan fungsi jantung.

“Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI