PARIS – Pasukan Ineos Grenadiers percaya bahawa bintang mudanya, Tom Pidcock mampu menukar emas Olimpik kepada kejayaan lebih besar di Tour de France (TdF) 2023 nanti.
Penolong ketua pasukan, Rod Ellingworth melihat bahawa Pidcock seorang pelumba yang berkualiti, namun memerlukan pengalaman lebih untuk menakluk perlumbaan mencabar seperti TdF.
Tegas Ellingworth, Pidcock membuktikan dia seorang pelumba berbasikal yang berbakat menerusi kemenangan solonya di Alpe d’Huez pada debut pertamanya musim lalu.
“Saya rasa masih ada kerja yang perlu dia (Pidcock) lakukan untuk menjadi pesaing terhebat terutama memburu jersi kuning.
“Saya fikir kemenangan pertama adalah batu loncatan ke arah impian dan cita-citanya pada perlumbaan berstatus Grand Tour ini.
“Pidcock mempunyai jiwa yang besar. Apabila dia menetapkan sasaran, dia akan bekerja keras untuk mendapatkannya. Sama ada dia berjaya atau tidak, dia pastinya akan memberikan yang terbaik,” kata Ellingworth.
Sebagai rekod, atlet Great Britain tersebut merangkul pingat emas dalam acara basikal bukit pada saingan Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Pasukan Ineos Grenadiers membariskan pelumba terbaiknya iaitu Egan Bernal, Jonathan Castroviejo, Omar Fraile, Michal Kwiatkowski, Daniel Martinez, Carlos Rodriguez dan Ben Turner. – AGENSI