GEORGE TOWN – DAP tidak mempunyai dasar tetap untuk menyekat calon-calon parti itu daripada bertanding di kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam mana-mana pilihan raya.
Pengerusi DAP negeri, Chow Kon Yeow berkata, sebelum ini terdapat negeri-negeri di mana calon DAP bertanding di kedua-dua kerusi Parlimen dan DUN.
“Memang selama ini tidak ada dasar tetap berhubung perkara ini, ada negeri-negeri tertentu memang ada calon bertanding dua kerusi (Parlimen dan DUN), ini tertakluk kepada keadaan setiap negeri. Jadi jawatankuasa negeri boleh membuat syor (calon bertanding dua kerusi), begitu juga di Pulau Pinang,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat Ketua Menteri, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada calon daripada DAP akan bertanding di dua kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Kon Yeow telah bertanding di kedua-dua kerusi Parlimen dan DUN.
Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, DAP negeri juga sedang mengadakan semula temuduga dengan para penyandang daripada parti itu untuk PRN akan datang. – KOSMO! ONLINE