fbpx

Mahkamah: Wanita hamil, adik angkat didakwa curi duit tabung surau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PUTERI NORAZILA (tengah) dan Nur Hidayah (kanan) diiringi anggota polis selepas dihadapkan di Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka, hari ini.

MELAKA – Seorang wanita hamil lapan bulan dan adik angkatnya didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mencuri duit tabung surau berjumlah RM300 April lalu.

Tertuduh, Puteri Norazila Paimen@Mohamed Inson, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah, manakala adik angkatnya, Nur Hidayah Abdullah, 24, membuat pengakuan bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan niat curang telah mencuri wang tabung surau bernilai RM300 kira-kira pukul 1.50 petang di Surau Al-Hidayah, Taman Pertam Jaya, dalam daerah Melaka Tengah pada 7 April lalu.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali dan bagi kesalahan kali kedua atau yang kemudian bolehlah dikenakan penjara dan bolehlah juga dikenakan denda atau sebat.

Mengikut fakta kes, tertuduh secara bersama-sama menerusi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) dilihat telah memasuki ruangan jemaah lelaki dan mengumpil sebuah tabung diletakkan di hadapan pintu masuk surau.

Kedua-dua mereka kemudian dilihat keluar dan meninggalkan lokasi dengan menunggang motosikal jenis SYM.

Terdahulu, Peguam Ng Fun Boon yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan dikenakan terhadap Nur Hidayah dengan alasan anak guamnya itu mempunyai empat orang anak dengan salah seorang daripadanya sedang dirawat di hospital.

Selain itu, beliau turut meminta jaminan rendah diberikan kepada Puteri Norazila dengan mengambil kira tertuduh kini sedang sarat mengandung dengan usia kandungan mencecah lapan bulan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri memohon hukuman setimpal diberikan terhadap Nur Hidayah dan mencadangkan jaminan sebanyak RM8,000 dikenakan bagi Puteri Norazila.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara empat bulan daripada tarikh ditangkap iaitu 17 Jun lalu dan denda RM1,000 atau satu bulan penjara jika gagal bayar terhadap Nur Hidayah, manakala kakak angkatnya dikenakan jaminan sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin.

Tarikh 31 Julai depan ditetapkan sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI