JOHOR BAHRU – Sindiket pengedaran dadah secara terbuka menggunakan media sosial seperti TikTok dan WeChat bagi tujuan mempromosi dan mencari pelanggan menjual bekalan dadah pelbagai jenis.
Sindiket yang aktif beroperasi sejak Mac lalu turut menawarkan potongan harga kepada pelanggan sekiranya membuat tempahan dalam jumlah yang besar.
Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Polis M. Kumar berkata, sindiket itu akhirnya tumpas setelah lapan individu ditahan termasuk dalang sindiket dalam empat serbuan berasingan antara 12 tengah hari Ahad lalu hingga 3.20 petang, Isnin lalu di sekitar kawasan Johor Bahru.
Beliau berkata, dalam kesemua serbuan tersebut, polis menahan lima lelaki dan dua wanita tempatan serta seorang wanita warganegara asing berusia lingkungan 19 hingga 67 tahun.
“Setelah membuat tempahan dan pembayaran secara atas talian, sindiket terbabit akan meninggalkan bekalan dadah di satu lokasi untuk diambil oleh pelanggan. Mereka turut membungkus semula bekalan dadah itu serta memproses dalam bentuk cecair dan botolkan dalam bekas minuman berperisa bagi mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Kumar memberitahu, dalam siri serbuan itu, polis turut merampas pelbagai jenis dadah iaitu 10.65 kilogram (kg) serbuk ekstasi, 914.2 gram (g) ketamin, 118 biji pil ekstasi, 100 biji pil erimin 5, 5.85 liter cecair ekstasi dan 8.3g ganja yang dianggarkan bernilai RM926,644 juta.
Tambahnya, kesemua suspek ditahan reman selama seminggu sejak Isnin lalu sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE