PETALING JAYA – Pelakon Ardell Aryana tekad terbang ke Sabah bagi melaksanakan misi kemanusiaan untuk menyalurkan bantuan kepada penduduk yang terjejas akibat Covid-19.
Difahamkan, Ardell atau nama sebenarnya, Nurul Hidayah Mohd Amin, 30, dan pasukannya tiba di Sabah pagi semalam.
Ardell berkata, dia dan pasukannya akan ke beberapa lokasi pedalaman untuk menyampaikan bantuan kepada penduduk terjejas khususnya di Semporna dan Tawau.
“Berat kaki untuk melangkah tetapi apa yang kami lakukan ini demi niat kemanusiaan. Semoga Tuhan akan sentiasa melindungi perjalanan kami di sana,” tulisnya di dalam Instagram.
Tambah pelakon drama Baby Ana Milik Siapa? itu, dia juga terpaksa menguatkan hati kerana perlu berjauhan dengan keluarga.
“Kuatkan hatiku untuk berjauhan seketika dengan anak dan keluarga. Tiada seorang wanita dan ibu yang sanggup berjauhan dari suami serta anaknya.
“Tapi dengan rindu sahaja tidak mampu mengenyangkan perut warga emas yang kelaparan akibat kesukaran ketika bumi di uji dengan Covid-19,” katanya.
Dalam pada itu, suaminya, Nadzmi Adhwa turut memuat naik video dalam Instagram sebelum Ardell berlepas ke Sabah.