fbpx

Pegawai, anggota polis antara pengunjung pusat hiburan positif dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Azman (kiri) menunjukkan salah sebuah kereta mewah yang dirampas daripada seorang lelaki yang ditangkap kerana disyaki menjadi pengedar dadah di pusat hiburan yang terletak di Jalan Sungai Padungan, Kuching, Sarawak.

KUCHING – Seorang pegawai kanan polis berpangkat Asisten Superintendan (ASP) dan dua orang anggota berpangkat Sarjan dan Koperal adalah antara 152 pengunjung sebuah pusat hiburan di sini yang ditangkap kerana didapati positif dadah.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd. Azman Ahmad Sapri berkata kesemua suspek berusia antara 19 hingga 54 tahun itu ditahan dalam serbuan yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dengan kerjasama JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak ke atas pusat hiburan yang terletak di Jalan Sungai Padungan itu, dari jam 1.20 hingga 6 pagi pada 25 Jun lalu.

Menjelas lanjut, beliau berkata pegawai dan anggota polis berusia antara 45 hingga 49 tahun itu ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.

“Sementara menunggu laporan patologi, kita juga akan menjalankan siasatan dalaman,” katanya pada sidang media di IPK Sarawak di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd. Azman berkata operasi itu turut menumpaskan sindiket pengedaran dadah serta rampasan dadah dan sitaan harta bernilai kira-kira RM1.4 juta hasil penahanan ke atas seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun yang disyaki membekalkan dadah di pusat hiburan berkenaan.

“Dadah yang dirampas adalah 45 peket jus berisi serbuk ekstasi dianggarkan seberat 2,085.90 gram, 63 biji pil ekstasi dianggarkan seberat 25.20 gram dan satu peket plastik berisi ketamin dianggarkan seberat 20 gram. Kesemua dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM197,458 dan boleh digunakan oleh seramai 8,877 orang,” katanya sambil menambah bekalan dadah itu dipercayai diperolehi dari Semenanjung menggunakan perkhidmatan kurier.

Mohd Azman menambah pihaknya turut menyita harta bernilai lebih satu juta daripada suspek iaitu empat buah kenderaan jenis Land Rover, Lexus, BMW X5 dan Toyota Camry, barang kemas seperti lima cincin emas, satu gelang tangan emas, seutas rantai emas dan sepasang subang emas serta beg tangan jenama mewah.

Beliau berkata suspek kini direman selama tujuh hari bermula 25 Jun hingga 2 Julai di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Sementara, Mohd Azman berkata seramai lima orang lelaki, seorang wanita tempatan dan seorang wanita warga asing berusia antara 26 hingga 42 tahun turut ditahan di bawah Seksyen 39B ADB 1952 setelah pemeriksaan ke atas mereka menjumpai 12 peket jus berisi serbuk campuran dadah Methylenedioxy Methamphetamine (MDMA) dianggarkan seberat 540 gram.

Manakala, katanya 14 orang wanita warga asing iaitu enam dari China, enam dari Vietnam, seorang dari Indonesia dan seorang dari Thailand yang positif dadah telah dituduh di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 di Mahkamah Majistret Kuching pada 26 Jun lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI