JOHOR BAHRU – Golongan suri rumah terutama kelompok B40 merupakan antara kumpulan yang terkesan dengan kenaikan harga beras di pasaran ketika ini.
Suri rumah, Norhanis Mohammad, 37, berkata, kenaikan harga beras antara RM2 dan RM3 bagi kampit 10 kilogram (kg) itu dirasai sejak seminggu lalu.
“Nasi merupakan makanan ruji bagi rakyat Malaysia. Saya sekeluarga memakan nasi setiap hari, jadi apabila harga beras naik, walaupun (kenaikan) tidak banyak, tetapi ia masih dirasai.
“Jika tidak dikawal, mungkin ada dalam kalangan kami yang terpaksa mengurangkan pembelian atau menggantikan nasi dengan makanan lain seperti mi dan sebagainya,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Antara beras yang mengalami kenaikan adalah beras putih tempatan, beras wangi, beras basmati dan beras putih import. Kenaikan sebanyak RM2 hingga RM3 itu adalah mengikut jenama beras berkenaan.
Menurut ibu kepada empat anak itu, kenaikan harga beras itu juga akan menyebabkan golongan B40 tertekan kerana perlu mengeluarkan belanja lebih untuk membeli barangan asas tersebut.
“Sekarang banyak barang mengalami kenaikan harga. JIka barangan lain mungkin rakyat masih ada pilihan, namun jika bahan asas seperti beras, apa pilihan lain yang ada?” soalnya.
Kebimbangan sama diluahkan seorang lagi suri rumah, Salwa Supaid, 29, yang memberitahu, kenaikan harga beras akan turut menyebabkan harga makanan meningkat.
“Biasanya jika harga barang (asas) naik, mesti harga makanan juga meningkat tetapi apabila harga barang stabil atau turun, harga makanan kekal sama. Peniaga tidak menurunkan harga jualan makanan mereka.
“Jadi saya amat berharap pihak berkuasa dapat membantu mengawal harga beras. Kenaikan harga beras ini akan beri kesan kepada keluarga B40,” kata ibu kepada tiga anak itu.
Sementara itu, Ngatini Karcin, 58, berkata, harga sekampit beras 10 kg yang dibelinya baru-baru ini naik sebanyak RM5 kepada RM35.90 berbanding RM30.90 sebelum ini.
Jelasnya, dia dan suami yang bergantung dengan pendapatan hasil sawit merasai kenaikan harga beras ketika ini lebih-lebih lagi apabila harga sawit sekarang semakin merosot.
“Memang agak terkejut harga beras naik. Bulan lepas beli beras harganya masih RM30.90 bagi kampit 10 kg. Kalau naik RM1 saya boleh terima lagi.
“Kami peneroka berdepan dengan harga sawit tidak menentu. Buah sawit sedang melawas, jadi hasil memang kurang. Bila harga beras naik, memang betul-betul terasa,” katanya.