KAJANG – Seorang lelaki warga Myanmar berjaya ditenangkan oleh pihak bomba setelah bertindak membakar bilik dan mengancam untuk terjun dari tingkat 10 sebuah apartmen, di sini, pagi tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian kira-kira pukul 8.46 pagi.
Katanya, sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kajang telah dikejarkan untuk ke lokasi kejadian.
“Lelaki warga Myanmar berusia 30-an bertindak membakar sebuah bilik dan mengancam untuk terjun dari tingkat 10 bangunan apartmen tersebut.
“Kita berjaya memujuk serta menyelamatkan lelaki berkenaan dan memadam kebakaran yang terjadi dalam sebuah bilik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas beliau, kebakaran hanya melibatkan tilam dan kemusnahan bahagian bilik tersebut hanya lima peratus.
“Lelaki terbabit telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.