PETALING JAYA – Sebarang usaha lanjutan oleh kumpulan Sulu dan pembiaya mereka untuk menguatkuasakan Final Award yang dikeluarkan hasil daripada proses timbang tara tidak sah di bawah bidang kuasa lain selepas ini adalah sia-sia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ia susulan keputusan Mahkamah Rayuan The Hague di Belanda semalam menolak permohonan mereka untuk pengiktirafan dan penguatkuasaan Final Award berkenaan.
“Keputusan Mahkamah Rayuan Belanda ini mengesahkan pendirian Malaysia bahawa timbang tara komersial yang telah dilaksanakan terhadap Malaysia oleh pihak penuntut Sulu yang berpotensi menggugat integriti sistem timbang tara antarabangsa secara keseluruhan kini telah dijamin melalui keputusan ini.
“Pada masa sama, kerajaan Malaysia telah mengambil langkah-langkah perlu termasuk memperolehi pembayaran kos daripada pihak penuntut, rentetan keputusan Mahkamah Rayuan Paris pada 6 Jun 2023 yang mengekalkan penentangan Malaysia terhadap “Penghakiman Awal” Dr. Gonzalo Stampa terhadap bidang kuasa,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan keputusan Mahkamah Rayuan The Hague tersebut kepada pihak media sebelum berlepas pulang ke Malaysia dari Laos.
Anwar dipetik sebagai berkata, perkembangan tersebut sekaligus menamatkan satu episod tidak baik yang mencabar kedaulatan Malaysia.
Pada 2019, kumpulan Sulu membawa kes itu kepada penimbang tara Sepanyol untuk mendapatkan pampasan bagi tanah di Sabah yang didakwa telah dipajak oleh nenek moyang mereka kepada sebuah syarikat perdagangan British pada 1878.
Stampa yang dilantik oleh kumpulan Sulu pada 28 Februari 2022 membuat keputusan yang memihak kepada mereka dan memberikan Final Award AS$14.9 bilion (RM62.59 bilion) kepada lapan individu terbabit.
Bagaimanapun, keputusan berkenaan didapati tidak sah kerana pelantikan beliau sebagai penimbang tara telah dibatalkan oleh Mahkamah Sepanyol.
Kumpulan Sulu membawa kes tersebut ke Mahkamah Paris, namun Mahkamah Rayuan Paris pada 14 Mac 2023 mengekalkan perintah penggantungan yang diperoleh Malaysia terhadap pelaksanaan Final Award tersebut. – KOSMO! ONLINE