PUTRAJAYA – Sebanyak 1,739 ekor lembu selain 12 ekor kerbau dan 321 ekor kambing disumbangkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) bagi ibadah korban di masjid dan surau sekitar Wilayah Persekutuan tahun ini.
Jawi menerusi kenyataan akhbar berkata, Masjid Wilayah Persekutuan sendiri akan melaksanakan ibadah korban selepas solat sunat Hari Raya Aidiladha melibatkan 10 ekor lembu.
Menurutnya, pihaknya menetapkan waktu solat sunat Aidiladha 1444H/ 2023M di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya pada pukul 8.15 pagi.
“Selain itu, waktu solat bagi Wilayah Persekutuan Labuan pula ditetapkan pukul 8 pagi, manakala teks khutbah solat sunat Aidiladha boleh dimuat turun di laman sesawang rasmi Jawi,” katanya.
Tambah kenyataan itu, ibadah korban dibenarkan untuk dilaksanakan di masjid dan surau dengan syarat mematuhi garis panduan ditetapkan oleh Jabatan Veterinar. – KOSMO! ONLINE