fbpx

Lelaki terselamat kereta terjunam dalam terusan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kereta jenis Proton Wira yang terjunam ke dalam Terusan Alor Changileh di Jalan Sungai Korok, Jitra  pada petang tadi.

JITRA – Seorang lelaki terselamat selepas kereta dipandunya terbabas lalu terjunam ke dalam Terusan Alor Changileh di Jalan Sungai Korok di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu, mangsa yang berusia 43 tahun sempat menyelamatkan diri dan hanya mengalami kecederaan ringan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 4.37 petang tadi.

“Sebaik tiba di lokasi, kita mendapati terdapat sebuah kereta terbabas ke dalam terusan.

“Pemandu sempat menyelamatkan diri dan mangsa yang mengalami kecederaan ringan pada kepala dihantar ke Hospital Jitra untuk rawatan,” katanya di sini hari ini.

Kata beliau, Pasukan Penyelamat di Air kemudian melakukan operasi mencari kereta tersebut.

Sementara itu, kakitangan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda, Nizam Mansor berkata, dia dihubungi pihak berkuasa untuk menutup pintu air di terusan itu bagi melakukan operasi mencari kereta mangsa.

“Kedalaman terusan adalah kira-kira lima meter dan kereta jenis Proton Wira tersebut berjaya ditarik keluar kira-kira pukul 7.45 malam ini,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd. Ismail Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati kereta dipandu mangsa terbabas selepas terlanggar takungan air pada permukaan jalan semasa hujan lebat. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI