KUALA LUMPUR – Hasrat skuad hoki lelaki negara untuk menutup siri jelajah Korea Selatan dengan langkah kemenangan berjaya direalisasikan apabila menang 2-1 pada aksi terakhir sebentar tadi.
Kemenangan di Pusat Latihan Nasional Jincheon itu amat bermakna buat Speedy Tigers selepas seri dua kali dan tewas satu perlawanan menentang lawan di kedudukan ke-10 dunia tersebut.
Ketua jurulatih skuad negara, A. Arul Selvaraj berpuas hati dengan kemenangan itu selepas mendakwa Korea Selatan mendapat ‘layanan istimewa’ daripada dua pengadil yang dipilih sendiri oleh mereka.
“Satu perlawanan yang begitu tertekan dari segi emosi dan mental kerana kita beraksi 18 pemain, manakala mereka turun dengan 20 pemain. Situasi umpiring juga memang agak ketara berat sebelah.
“Umpire (pengadil) mudah melayangkan kad sewenang-wenangnya. Kita mendapat empat kad kuning dan dua kad hijau, manakala mereka cuma dapat satu kad hijau.
“Ini bukan alasan tetapi kenyataan dan saya bangga kerana para pemain menyerap tekanan itu untuk mencari kemenangan. Ia satu kemenangan yang bagus dalam perlawanan terakhir di sini,” katanya.
Malaysia, No.10 dunia, membuka tirai jaringan menerusi gol padang Muhammad Najib Abu Hassan pada minit ke-28 sebelum Korea Selatan bangkit menyamakan kedudukan berselang lapan minit kemudian.
Speedy Tigers yang kini tersenarai dalam program Road To Gold (RTG) ke Sukan Olimpik Paris 2024, berjaya meledak gol kemenangan hasil jaringan padang Shahmie Irfan Suhaimi pada minit ke-45.
Sebagai rekod, siri jelajah Korea Selatan itu adalah langkah persediaan skuad negara yang akan menghadapi Trofi Juara-Juara Asia (ACT) di Chennai, India bermula 3 hingga 12 Ogos depan.
Selepas itu, Speedy Tigers akan turun memburu pingat emas Sukan Asia Hangzhou di China pada September depan untuk layak automatik ke Olimpik Paris 2024. – KOSMO! ONLINE