LONDON – Chelsea dikatakan sedia membuat ‘kerja gila’ apabila menjadikan penyerang Napoli, Victor Osimhen sebagai sasaran pada jendela perpindahan kali ini bagi mengetuai jentera serangan The Blues musim depan.
Walaupun Napoli enggan melepaskan aset yang paling berharga itu, namun mereka sedia untuk membuka meja rundingan sekiranya mana-mana pasukan sanggup membayar £155 juta (RM921.27 juta).
Justeru, harga yang diminta Napoli itu menyebabkan pasukan-pasukan berminat tidak bersedia untuk melakukan bidaan, namun Chelsea dilaporkan bersedia untuk memenuhi permintaan tersebut.
Meskipun rundingan rasmi masih belum bermula antara kedua-dua pasukan tersebut, namun difahamkan, Chelsea mahu menyelesaikan urusan penjualan pemain terlebih dahulu sebelum mula merangka rancangan pembelian pemain.
Setakat ini, Chelsea sudah membawa masuk penyerang Villarreal, Nicolas Jackson, bagaimanapun, ia masih belum mencukupi memandangkan The Blues memerlukan pemain berpengalaman untuk mengetuai jentera serangan.
Walaupun Chelsea sedia untuk berbelanja besar bagi mendapatkan Osimhen, tetapi juara dua kali Eropah itu perlu bersaing dengan Manchester United dan Paris Saint-Germain (PSG) yang turut menyatakan minat dengan pemain Nigeria tersebut.
Osimhen dianggap antara penyerang berbisa di Eropah pada saingan 2022/23 apabila menjaringkan 26 gol dalam saingan
liga sehingga membantu Napoli muncul juara Serie A buat kali pertama sejak musim 1989/90.
– AGENSI