fbpx

K2

Menang slogan, rakyat tidak ke mana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dalam pertarungan politik, untuk memikat hati rakyat pelbagai slogan telah diperkenalkan. – GAMBAR HIASAN

SETIAP kerajaan biasanya mempunyai slogan tersendiri. Contohnya, slogan Wawasan 2020, Islam Hadhari, 1Malaysia, Keluarga Malaysia dan sebagainya.

Secara asas, tiada isu dalam slogan ini. Maka, pihak yang menjadi kerajaan wajar dan perlu mempunyai slogan yang tersendiri bagi memberikan imej hebat dan positif.

Walau bagaimanapun, slogan sahaja tidak memberi apa-apa erti besar kepada rakyat dan negara. Ini kerana tatakelola negara tidak terletak kepada slogan sebaliknya kepada isi asas ataupun dasar pentadbiran.

Oleh itu, beberapa kata keramat dapat dijadikan panduan dengan mengambil kira dasar, bukan sekadar dengan nama.

Tumpuan utama sewajarnya diletakkan kepada perkara asas pentadbiran, antaranya kestabilan politik, pembangunan ekonomi yang maju, pendidikan yang mendidik menjadi manusia yang beradab serta bijak, perpaduan rakyat yang kuat, keadilan dan sebagainya.

Dalam lipatan sejarah, terdapat satu kumpulan yang menentang Khalifah ‘Ali ibn Abi Talib. Kumpulan ini mendendangkan slogan bahawa tiada hukum melainkan hukum Allah.

Slogan ini digunakan bagi membantah tindakan yang dilakukan oleh Khalifah ‘Ali. Sebagai seorang Sahabat yang mendapat didikan langsung daripada Nabi Muhammad SAW, Khalifah ‘Ali menyatakan bahawa ungkapan itu adalah ungkapan yang benar, namun maksud yang dikehendaki daripada ungkapan itu adalah kebatilan.

Kisah ini memberi panduan kepada kita bahawa slogan sahaja tidak mencukupi. Pada masa yang sama, tidak sewajarnya dihabiskan masa, tenaga dan harta untuk menaikkan slogan yang kita perjuangkan.

Ada juga suara yang bercakap dengan slogan yang tidak selaras dengan semangat sebuah negara atau slogan yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Contohnya negeri ini hanya untuk rakyat negeri ini sahaja atau negeri ini adalah milik negeri yang lain.

Slogan ini tidak seharusnya dan tidak sewajarnya menjadi slogan arus perdana bahkan tindakan perlu diambil. Ini kerana, ia merosakkan semangat kesatuan dan keharmonian rakyat pelbagai kaum.

Dalam al-Quran, terdapat banyak perkara yang berkait dengan perkara asas dalam pembinaan negara. Contohnya, agihan kekayaan agar kekayaan tidak beredar dalam kalangan orang kaya dan agihan harta zakat kepada asnaf.

Bukan slogan yang patut dijadikan keutamaan sesebuah negara, sebaliknya perkara asas pentadbiran antaranya kestabilan politik dan pembangunan ekonomi. – GAMBAR HIASAN

Antara lainnya, pemberian makanan kepada golongan fakir miskin. Pemberian makanan ini adalah simbolik kepada bantuan yang perlu diberikan kepada golongan yang sangat memerlukan bantuan serta tegahan mengambil harta secara batil. Ini merangkumi rasuah, penipuan dan sebagainya.

Dalam riwayat hadis, terdapat anjuran untuk memberi ucapan salam hormat, memuliakan insan dan memuliakan jiran serta tetamu. Dalam riwayat hadis juga terdapat anjuran untuk menolong orang yang zalim dan orang yang dizalimi. Menolong orang zalim itu dalam erti menghalangnya daripada terus melakukan kezaliman.

Hadis turut meriwayatkan seruan untuk memudahkan urusan dan arahan dalam mematuhi pihak berkuasa dalam setiap perkara yang baik. Maka, setiap rakyat perlu kepada pihak berkuasa dan kerajaan walaupun berbeza parti politik.

Konsep keadilan adalah dasar besar yang sangat ditekankan dalam Islam. Keadilan bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya. Pihak kerajaan perlu berpegang teguh kepada dasar keadilan.

Keadilan terhadap setiap kaum, keadilan terhadap setiap rakyat dan keadilan terhadap setiap negeri.

Dalam catatan sirah, Nabi SAW membina negara Madinah berdasarkan kerangka negara yang berteraskan kepada isi asas dan dasar. Contohnya, dasar keadilan, dasar rahmat, dasar toleransi, dasar berbuat baik, dasar tatakelola yang baik dan sebagainya.

Oleh itu, tidak sewajarnya dibelanjakan wang yang tidak perlu untuk menaikkan slogan. Contohnya menaikkan tanda slogan di setiap pelusuk jalan, bangunan kerajaan dan sebagainya.

Pengalaman lalu membuktikan bahawa slogan-slogan ini tidak kekal bertahan lama. Maka, sewajarnya dan sepatutnya belanja untuk slogan ini digantikan dengan pembinaan insan yang berakhlak mulia, bukan yang menyokong slogan. Berakhlak mulia itu seperti menunaikan janji, menolak rasuah, adil, rajin, tidak zalim dan sebagainya. Kempen berakhlak mulia ini kekal kerana ini adalah isi asas, bukan slogan.

Slogan yang baik, namun perlaksanaan yang tidak baik akan menimbulkan momokan dalam kalangan majoriti masyarakat.  Sebaliknya, pelaksanaan yang baik walaupun tiada slogan atau slogan yang diwarisi maka ia akan mendapat sokongan majoriti rakyat.

Slogan yang hebat, namun tidak benar dalam pelaksanaan adalah satu bentuk penipuan. Penipuan adalah kesalahan dan dosa besar apatah lagi penipuan terhadap rakyat.

Akhirnya, tidak salah untuk memilih slogan yang baik. Slogan yang baik wajar disokong.

Sudah tentu satu perkara yang pelik dan salah untuk membentuk slogan yang tidak betul seperti slogan rasuah asas kekayaan.

Namun, belanja dan fokus hendaklah diberikan kepada isi asas, dasar dan pelaksanaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI